Pendidikan Sirah Nabi
Sirah Nabi ataupun sejarah kehidupan nabi Muhammad SAW amat cantik jika
diperkenalkan kepada anak-anak semenjak kecil lagi. Malah perbincangan
tentang corak kehidupan Rasulullah SAW akan membuka minda anak-anak kita
untuk menerima Rasulullah SAW sebagai idola mereka. Dalam masa yang
sama anak-anak kita dapat menghafal surah-surah Al-Quran yang berkaitan
dengan sirah tersebut.
Selama ini kita cuma belajar tentang
sejarah hidup baginda dalam pelajaran Agama Islam di sekolah, tanpa
memikirkan pengajaran disebalik kisah tersebut. Anak-anak kita cuma
menjadi pendengar pasif, tanpa cuba menghayatinya. Namun sekiranya para
ibu mengambil inisiatif membuka kembali kisah-kisah ini anak-anak akan
berminat untuk memberi pendapat dan persoalan mereka.
Surirumah
hari ini ramai yang terpelajar, paling tidakpun tahu membaca dan menulis
jadi apa salahnya kita jadikan program bercerita tentang kisah hidup
Rasulullah sebagai aktiviti keluarga kita. Cubalah...insya Allah
anak-anak kita akan tertunggu-tunggu aktiviti ini. Malah ia mampu
mengurangkan masa mereka menonton TV kegemaran mereka.
Perbincangan
tentang Sirah hidup Rasulullah SAW bermula dengan cerita, iaitu cerita
tentera bergajah sebagaimana yang diceritakan dalam surah Al-Fiil.
Cerita ini memang menarik, kemudian diikuti kisah kelahiran baginda
Rasulullah dan mukjizat yang mengiringinya. Begitu juga kisah pencarian
ibu susu nabi, sebagaimana yang diceritakan oleh Halimatul Saadiah, ibu
susu Nabi SAW. Sememangnya bagi ibu-ibu yang pandai bercerita, mereka
mampu menjadikan kisah ini amat menarik bagi kanak-kanak.
Kemudian
diikuti kisah masa kecil baginda yang tragis, ia mampu mengingatkan
anak-anak kita bahawa hidup ini sentiasa dalam ujian. Bukan untuk
menyusahkan anak-anak kita, tapi untuk mengingatkan mereka agar sentiasa
bersedia dengan qada' dan qadar Allah SWT.
Rasulullah SAW diuji
semenjak dalam kandungan lagi, kisah kehilangan bapa yang membawa
penderitaan kepada ibunda Baginda selepas kelahiran baginda dimana tidak
orang yang sudi menyusukan anak yatim. Namun dalam masa yang sama
diperlihatkan kepada kita kelebihan yang Allah berikan kepada keluarga
Halimatus Saadiah apabila beliau sanggup menyusukan Nabi Muhammad SAW.
Semuanya akan menjadi pengajaran berharga kepada anak-anak kita dalam
mengatur hidup mereka.
Kisah menjalani kehidupan jauh dari ibunda
tercinta, jauh daripada sanak-saudara ini mampu melembutkan hati
anak-anak kita, mampu menghidupkan perasaan simpati anak-anak kita
terhadap penderitaan orang lain. Kemudian diikuti kisah kehilangan
ibunda dan datuk tercinta, dan meneruskan kehidupan bersama-sama bapa
saudara. Kehidupan yang susah ini mengajar Baginda agar berdikari
semenjak kanak-kanak lagi.
Sememangnya anak-anak sukakan
kisah-kisah ajaib dan magic. Jadi dalam sejarah hidup Rasulullah memang
terkandung kisah-kisah ajaib, mukjizat yang diberikan oleh Allah SWT
kepada baginda, jadi ini secara tidak langsung membuka minat anak-anak
kita terhadap cerita-cerita ini. Sesungguhnya tiada cerita yang lebih
hebat dari sejarah hidup Baginda SAW. Bercerita tentangnya akan membuka
minda kita sendiri betapa hebatnya Insan ini. Ujian demi ujian diatasi
dengan tenang, malah ia menjadi penyebab utama Baginda melaksanakan
tanggungjawab mencari rezeki semenjak kanak-kanak lagi.
Memang
banyak pengajaran yang mampu kita perolehi daripada sirah ini. Bagaimana
akhlak yang baik mampu menarik orang lain menyukai baginda Rasulullah
SAW semenjak baginda kecil lagi, itulah contoh-contoh sifat dan
perwatakan yang perlu kita dedahkan kepada anak-anak kita. Moga kita
dapat membantu mereka dalam memilih corak hidup mereka.
Fikir-fikirkanlah...
Tidak ada komentar:
Posting Komentar